Kenali Darul Fuqaha
1.0 Pengenalan
Muassasah Darul Fuqaha atau Darul Fuqaha merupakan sebuah institusi pendidikan Islam yang diasaskan bagi melahirkan generasi muslim dan mukmin yang bakal mewarnai dunia dengan warna-warna Islam dengan keyakinan mereka adalah khalifah Allah yang diperintahkan untuk memakmurkan muka bumi Allah yang menjadi pentas ujian bagi dirinya meraih syurga di alam abadi.
Kami yakin bahwa dengan didikan Islam yang sempurna mampu membangun masyarakat yang berkualiti demi mencapai sebuah cita-cita yang mulia yaitu mengembalikan kekuasaan Islam. Sejarah Islam menerusi sirah Nabi Muhammad SAW telah menjadi bukti yang jelas serta fakta yang kukuh bahawa kemajuan dan ketamadunan dunia hanya dapat dibangun dengan baik menerusi agama suci ini. Melihat pada sejarah dahulu, Baginda Nabi telah memberi didikan yang cukup kepada generasi sahabat dalam membangun peradaban untuk memimpin dunia dengan berteraskan pada jalur dan landasan Islam.
Bertolak pada hal ini, Darul Fuqaha ditubuhkan untuk mengambil ruang serta memberi peranan yang tersendiri dalam membina masyarakat bertamadun akhlak dan budinya yang mampu memberi kebaikan kepada ummah sejagat.
2.0 Pengasas
Ia diasaskan oleh YB Ustaz Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri, seorang bekas pensyarah di UIA (1999-2002) dan UKM (2002-2008), pendakwah, penceramah agama di radio dan tv, penulis buku dan artikel serta ahli perniagaan (2008 hingga sekarang).
3.0 Maahad Tahfiz Anak Yatim Darul Fuqaha
Projek pertama Darul Fuqaha ialah penubuhan Maahad Tahfiz Anak Yatim Darul Fuqaha yang bermula pada 16 Februari 2005. Ia beroperasi di Kg Sg. Merab Luar, Bangi, Selangor, berhadapan Maktab Perguruan Islam Bangi dan berdekatan Institut Latihan Islam (ILIM).
Alamat lengkap: Lot 3283, Jalan MPI, Sungai Merab Luar, 43000, Kajang Selangor.
Ia ditubuhkan untuk menyediakan pendidikan percuma secara integrasi antara akademik, agama dengan berasaskan hafazan al-Quran untuk anak-anak yatim, anak-anak ibu tunggal dan golongan yang tidak berkemampuan. Pembiayaannya ialah berasaskan konsep wakaf dan sedekah harta daripada umat Islam berkonsepkan "anda belajar, umat membayar". Sebagai imbalannya pelajar-pelajar ini bakal mencurahkan tenaga mereka untuk ummah menerusi kerja-kerja dakwah Islam apabila ilmu penuh di dada dan sakhsiah sudah terbina.
4.0 Sek. Ren. Islam Pintar Tahfiz
Bermula Januari 2006 pula Darul Fuqaha telah mengambil alih pentadbiran Sekolah Rendah Islam Pintar (SRIP) Cawangan Kajang yang bernaung di bawah Ilmu Amal Sdn. Bhd. Ia terletak di Taman Mesra, Kajang. Sekolah ini menyediakan pembelajaran peringkat rendah dari tahun 1 hingga tahun 6. Sukatan yang digunakan ialah sukatan Kementerian Pelajaran Malaysia dengan tambahan sukatan hafazan al-Quran dan IT.
Bermula awal 2008 ia telah disusun kembali dan diberi nama Sek Ren Islam Pintar Tahfiz dan dipindahkan ke Sg. Merab, Bangi. Sek Ren Islam Pintar Kuala Terengganu juga diserapkan di bawah penyusunan baru ini dan menjadi cawangan SRIP Tahfiz di Kuala Terengganu.
5.0 Penerbitan Buku-Buku Islam
Menerusi syarikat Darul Fuqaha Enterprise, Darul Fuqaha mengusahakan penerbitan buku-buku agama ilmiyah yang bermula pada April 2005 dengan terbit buku sulong bertajuk "Hukum Wanita Menjadi Imam Solat Jumaat-Kontroversi Solat Jumaat Dr. Aminah Wadud" oleh Ustaz Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri dan Dr. Zulkifli al-Bakri. Sehingga kini 2014 sebanyak lebih 20 buah buku telah diterbitkan.
Darul Fuqaha mengalu-alukan para pengedar yang berminat untuk menjadi pengedar negeri bagi buku-buku tersebut. Pertanyaan lanjut boleh berhubung dengan Ustaz Harme secara terus di talian 019 2121972.
6.0 Projek Korban di Kemboja
Projek Korban di Kemboja merupakan salah satu projek misi kemanusiaan di Kemboja yang berlangsung sejak 2006 lagi. Setiap tahun berpuluh ekor lembu dikorbankan hasil sumbangan masyarakat Malaysia. Darul Fuqaha menaja lebih 30 orang guru al-Quran di Kemboja dengan sumbangan elaun RM70 sebulan seorang.
7.0 Tenaga Penggerak
Tenaga penggerak utama Darul Fuqaha 2014 terdiri daripada Ustazah Datin Anili Ramli selaku pengasas bersama dan juga Pengetua Darul Fuqaha, Ust Mohd Harme Aman Razali selaku Setiausaha, Ustaz Mohd Khairul Azlan Aman Razali selaku Penolong Setiausaha di samping ahli lembaga pengarah dan petugas-petugas di kalangan guru dan kakitangan seramai lebih 20 orang.
Dikemaskini pada 24hb Jun 2014
No comments:
Post a Comment