Monday, 23 June 2014

APAKAH HADIS "KEFAQIRAN MEMBAWA KEKUFURAN" BERMAKSUD KEFAQIRAN HARTA ATAU KEFAQIRAN JIWA? APAKAH HADIS "KEFAQIRAN MEMBAWA KEKUFURAN" BERMAKSUD KEFAQIRAN HARTA ATAU KEFAQIRAN JIWA?

APAKAH HADIS "KEFAQIRAN MEMBAWA KEKUFURAN" BERMAKSUD KEFAQIRAN HARTA ATAU KEFAQIRAN JIWA?
APAKAH HADIS "KEFAQIRAN MEMBAWA KEKUFURAN" BERMAKSUD KEFAQIRAN HARTA ATAU KEFAQIRAN JIWA?

6336 - أخبرنا أبو طاهر الفقيه ، أنا أبو بكر محمد بن الحسين القطان ، نا أحمد بن يوسف السلمي ، نا محمد بن يوسف ، قال : ذكر سفيان ، عن الحجاج يعني ابن فرافصة ، عن يزيد الرقاشي ،
عن أنس بن مالك ، قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : « كاد الفقر أن يكون كفرا ، وكاد الحسد أن يغلب القدر » شعب الإيمان للبيهقي - (ج 14 / ص 125)

555 - أخبرنا هبة الله بن إبراهيم الخولاني ، ثنا إبراهيم بن يوسف الصيدناني ، ثنا محمد بن عمرو العقيلي ، ثنا إبراهيم بن عبد الله ، ثنا أبو عاصم النبيل الضحاك بن مخلد الشيباني ، ثنا سفيان هو الثوري ، عن حجاج بن فرافصة ، عن يزيد الرقاشي ، عن أنس ، قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : « كاد الفقر أن يكون كفرا ، وكاد الحسد أن يغلب القدر »
وأنا هبة الله ، أنا أبو سعيد الحسن بن الحسين بن عبدان ، نا أبو يعقوب ، محمد بن أحمد النحوي ببغداد ، نا إبراهيم بن عبد الله ، نا أبو عاصم ، نا سفيان يعني الثوري ، عن يزيد الرقاشي ، عن أنس بن مالك ، أن النبي صلى الله عليه وسلم قال . وذكره (مسند الشهاب القضاعي - (ج 2 / ص 425)
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik; sabda Rasulullah SAW: "Hampir saja kefaqiran membawa kepada kekufuran dan hampir sahaja sifat hasad mengalahkan ketetapan qadar (Allah).

Hadis di atas diriwayatkan oleh Imam Baihaqi dalam Syu`ab al-Iman (juz 14, Hlm 125) dan juga al-Quda`i dalam Musnad beliau (juz 2, hlm 425).

Hadis "Hampir sahaja kefaqiran itu membawa kepada kekufuran" selalunya ditafsirkan dengan maksud kefakiran harta benda. Justeru, kesimpulan yang selalu dibuat ialah kemiskinan harta itu sesuatu yang sangat merbahaya dan perlu ditangani kerana boleh membawa kepada kerosakan aqidah iaitu kekufuran. Malah, ada yang berlebih-lebihan berbicara tentang bahaya kefaqiran bagi merasionalkan kerakusan mereka mencari harta dunia.

Namun, menariknya terdapat hadis-hadis yang lebih sahih dan kuat dalam Sahih Bukhari, Muslim, Ibn Majah, Tirmizi dan Ahmad di mana Nabi saw menafikan kebimbangan baginda terhadap kefaqiran harta sebaliknya yang dibimbangi ialah kekayaan harta. Antaranya Hadis Sahih riwayat Imam Bukhari daripada sahabat Nabi SAW `Amru bin `Auf, sabda Nabi SAW:
فَوَاللَّهِ لَا الْفَقْرَ أَخْشَى عَلَيْكُمْ وَلَكِنْ أَخَشَى عَلَيْكُمْ أَنْ تُبْسَطَ عَلَيْكُمْ الدُّنْيَا كَمَا بُسِطَتْ عَلَى مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ فَتَنَافَسُوهَا كَمَا تَنَافَسُوهَا وَتُهْلِكَكُمْ كَمَا أَهْلَكَتْهُمْ
Maksudnya: "Maka demi Allah, bukanlah kefaqiran aku bimbangkan ke atas kamu tetapi aku bimbang dibentangkan ke atas kamu dunia sepertimana dibentangkan ke atas umat sebelum kamu lalu kamu berlumba-lumba mengejarnya sepertimana mereka berlumba-lumba mengejarnya dan ia mehancurkan kamu sepertimana ia telah menghancurkan mereka. (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tirmizi, Ibn Majah dan Ahmad)
Ternyata daripada hadis di atas, kekayaan menjadi antara punca kehancuran banyak manusia, malah ia telah berlaku kepada terdahulu.
Maksud hadis ini sendiri telah dibuktikan oleh sejarah manusia terdahulu serta reality hidup manusia dewasa ini. Kekayaan telah menjadikan manusia rakus mengejar harta sehingga sanggup mencuri, merompak, membunuh dan melakukan apa sahaja meskipun yang haram demi untuk mendapatkan kekayaan. Kekayaan juga telah melekakan banyak orang daripada agama dan akhlak yang baik.

Begitu juga dalam hadis Ibn Majah dan Ahmad, baginda menegur para sahabat yang berbicara tentang kefaqiran dan menakutkan-nakutkan diri mereka dengan kefaqiran. Baginda lantas menegur: "Adakah kefaqiran yang kamu takutkan? Demi jiwaku yang berada di tanganNya, dunia akan mencurah-curah pada kamu sehinggakan tidak ada yang menyelewengkan hati seseorang kamu melainkan dunia itu. (riwayat Ibn Majah, Bab Mengikut Sunnah Rasulillah SAW). Nabi SAW dalam hadis di atas bukan sahaja menafikan ketakutan terhadap kefaqiran bahkan menegaskan tentang kebimbangan terhadap kekayaan.

Menariknya sepanjang pemerhatian saya –wallahu a`lam- tidak dapat terdapat hadis-hadis lain lagi yang mengecam kemiskinan dan memperingatkan umat Islam dengan bahaya kemiskinan kecuali beberapa hadis doa dalam Nasaei di mana Nabi berlindung diri daripada kefaqiran, dalam Tirmizi di mana Nabi SAW berdoa agar dicukupkan keperluan untuk tidak menjadi faqir, dalam Sahih Bukhari di mana Nabi SAW berdoa daripada fitnah kekayaan dan kefaqiran kedua-duanya sekaligus,(Bab Memohon Perlindungan daripada Fitnah Kefaqiran, hadis No 5900).

Malah Imam Bukhari pula membuat satu bab bertajuk "kelebihan kefaqiran" yang merujuk kepada kefaqiran harta. Antaranya hadis Nabi SAW yang menegaskan bahawa kebanyakan ahli syurga di kalangan orang-orang faqir manakala kebanyakan ahli neraka di kalangan orang yang kaya. (Bab Kelebihan Kefaqiran,No 5968).

Sekiranya hadis bahaya kefaqiran ditafsirkan dengan maksud bahaya kemiskinan harta ia akan bertembung dengan maksud hadis yang lebih kuat yang mengecam dan mempertingatkan kita tentang bahaya kekayaan.

Lantaran itulah tafsiran yang lebih tepat bagi maksud kefaqiran dalam hadis tersebut ialah kefaqiran jiwa. Ertinya kefaqiran jiwa manusia mendorong manusia menjadi kufur meskipun dia seorang yang kaya harta-benda.

Tafsiran ini disokong oleh maksud hadis baginda selanjutnya yang menyebut tentang bahaya hasad dengki. Teks lengkap hadis tersebut ialah: "Hampir saja kefaqiran membawa kepada kekufuran dan hamper sahaja sifat hasad mengalahkan ketetapan qadar (Allah).

Ia juga disokong oleh banyak hadis yang menjelaskan hakikat sebenar kefaqiran iaitu kafaqiran jiwa antaranya sabda Nabi SAW; wahai Abu zar, adakah kamu melihat banyak harta itu adalah kekayaan? Dan sedikit harta itu adalah kefaqiran? Bukan begitu, sebenar-benar Kekayaan ialah kekayaan jiwa dan sebenar-benar kefaqiran ialah kefaqiran jiwa. (Sahih al-Hakim)

Nabi SAW juga mengajar berdoa untuk kaya tetapi kaya yang disertai dengan barakah. Antaranya doa Nabi SAW kepada Anas bin Malik: "Ya Allah banyakkanlah hartanya dan anak pinaknya dan berkatilah dia pada apa sahaja pemberianMu kepada nya."
Justeru, kesimpulan yang boleh dibuat ialah;
1. kekayaan yang sebenar ialah kaya jiwa. Kefaqiran yang sebenar ialah kefaqiran jiwa.
2. kekayaan harta lebih bahaya berbanding kefaqiran sekiranya ia tidak diirngi dengan kekayaan jiwa.
3. Orang yang kaya harta dan jiwa menggunakan hartanya untuk jalan Allah.
4. Orang kaya harta dan miskin jiwa sentiasa merasa miskin dan tidak merasakan hartanya mencukupi.
5. Orang yang faqir harta tetapi kaya jiwa tidak tergamak melakukan yang haram demi untuk sesuap nasi

Ditulis oleh
Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Disiarkan pada 16.10.2010 dalam blog www.syeikh-takiri.blogspot.com

No comments:

Post a Comment